NASIHAT DARI SAUDARA HILAL ASYRAF!
December 28, 2013 by ✗ fifiyfitrianiee ✗ 0Komen disiniA+ a-
Assalamualaikum. Selamat berhujung minggu kawan-kawan ^_^. Saya nak share pesanan/nasihat dari abang Hilal Asyraf ni. Sangat sesuai lah untuk semua manusia dibumi Malaysia ni dari yang kecil, miskin sehingga lah ke pangkat ORANG KAYA. haha.
Taknak type panjang-panjang. Mehh baca kat bawah ni:
Saya ada seorang Sheikh di Jordan yang sangat saya kasihi. Namanya Dr Sa'eed Bawa'anah. Saya belajar mata pelajaran hadith dengan beliau.
Dia seorang yang baik. Sopan. Lemah lembut. Kemas. Dia antara yang membantu saya menyiapkan hujah kala berdiskusi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad seputar isu hudud pada tahun 2012.
Selepas saya tamat belajar di Jordan, berlaku kenaikan harga barang yang agak tinggi, bermula dengan kenaikan harga minyak. Rakan saya yang masih belajar di Jordan menceritakan bahawa selepas peristiwa yang menekan rakyat itu berlaku, Sheikh Sa'eed Bawa'anah telah menjadi khatib Jumaat.
Di dalam khutbah beliau, Dr Sa'eed menasihatkan rakyat:
"Kita kena positif dengan apa yang berlaku. Setiap musibah ada hikmahnya. Dan kenaikan harga minyak ini akan membuatkan anak muda tidak lagi berkeliaran melakukan perkara sia-sia." Lebih kurang begitu antara yang beliau sebut.
Di tengah khutbah beliau, orang bangun dan memarahi statement beliau tersebut. Keadaan dikatakan hampir tidak terkawal kerana ramai yang marah dengan khutbah beliau. Hingga akhirnya Dr Sa'eed terpaksa memendekkan khutbah dan segera mendirikan Solat Jumaat.
Di Malaysia, perkara yang lebih kurang sama terjadi baru-baru ini.
Saya menghormati sheikh saya dan saya menghormati mereka yang jauh lebih tua daripada saya.
Tetapi apa yang saya boleh sebutkan dalam kedua-dua situasi mereka ialah, mereka naif.
Ya, memang ada yang hidup tak produktif, kerja tak bersungguh, suka habis masa buat benda sia-sia. Namun perlu diingat, bukan semua begitu. Ada di sana orang yang dah tak tahu dah nak jimat macam mana lagi, nak kerja keras yang macam mana lagi, nak positif yang tahap macam mana lagi. Dan bilangan mereka bukan sedikit.
Apa yang gagal dilihat ialah masalah yang lebih besar, iaitu keperluan urus tadbir yang baik daripada pihak kerajaan.
Kita tidak boleh naif, suruh rakyat pandang dari sudut positif dan pada masa yang sama rakyat terus menerima tekanan demi tekanan, dan yang menekan tidak menerima apa-apa teguran.
Rakyat dipaksa telan segala alasan seperti rasionalisasi subsidi, harga minyak sedunia memang tengah naik, tambang pengangkutan awam kita masih termurah, negara maju semua amal GST, macam-macam. Dipaksa positif dengan semua itu. Namun pada masa yang sama, pembaziran demi pembaziran, pemborosan demi pemborosan, ketirisan demi ketirisan, berlaku di tahap kepimpinan.
Ini yang rakyat marah dan tak boleh terima. Sebelum pilihanraya bukan main lagi rayu minta undi. Lepas pilihanraya, segala janji tinggal janji.
Kalau benar segala kenaikan harga ini perlu untuk masa hadapan negara, pemimpin kena tunjuk tauladannya. Kurangkan segala elaun menteri-menteri, kurangkan majlis keraian, kurangkan menganjur program tak bermanfaat dan sama-samalah dengan rakyat untuk berkorban demi masa hadapan negara. Bukan biar rakyat sahaja terkorban.
Ini yang sepatutnya sheikh saya, pakar motivasi dan orang agama nampak. Bukan naif, bila sesuatu terjadi, marhaen yang kena positif, marhaen yang kena redha itu ketetapan Allah dan sebagainya.
Marhaen dah terluka, lukanya pula besar, buat apa nak perah limau nipis pada luka tersebut? Limau nipis kalau buat air limau memang sedap, tapi kalau letak pada luka, sakitnya bukan kepalang. Harap faham analogi tersebut.
Kita kena keluar dari kenaifan ini.
Rawat luka masyarakat, dengan menyembuhkan 'penyakit sebenar' yang merosakkan semua ini.
Rakyat memerlukan figure yang boleh memberikan penyelesaian kepada masalah mereka, bukannya candu untuk mereka lupakan masalah sebenar yang mencengkam kehidupan mereka.
Secoret pandangan doif daripada saya yang hina.
Sumber