KANAK-KANAK HAMPIR MATI DALAM KERETA - SABAH

July 22, 2013 0Komen disiniA+ a-


Suhu di dalam kenderaan yang dibiarkan di bawah panas terik boleh meningkat kepada lebih 50 darjah Celcius dalam masa 20 minit dan menyebabkan kepanasan melampau kepada yang terperangkap di dalamnya. 
Bayangkan pula keadaan kanak-kanak yang suhu badannya boleh meningkat tiga kali ganda lebih pantas berbanding orang dewasa jika mereka yang terperangkap di di dalam kenderaan itu, kata seorang doktor pakar hari ini.
 
Menurut Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, peningkatan suhu secara drastik dalam masa singkat itu menyebabkan suhu dalaman badan bayi atau kanak-kanak meningkat sehingga 41 darjah Celcius berbanding suhu normal pada 37 darjah. 
"Kepanasan ini akan menyebabkan proses perpeluhan berlaku yang seterusnya berlaku kekurangan air di dalam badan, sawan, kekeliruan, kerosakan otak dan organ di dalam badan dan seterusnya kematian.  Ini dikenali sebagai ''heat stroke'' (strok haba), kematian juga boleh disebabkan oleh lemas (suffocation) akibat kekurangan udara kerana tingkap ditutup rapat," katanya menerusi blog miliknya.

Beliau menjelaskan keadaan tingkap yang dibuka sedikit atau membiarkan penghawa dingin berfungsi juga bukan jaminan perkara itu tidak akan berlaku. 
Mengulas lanjut perkara itu kepada Bernama, Dr Ahmad Mahyuddin berkata kanak-kanak lebih cepat menerima kesan berbanding orang dewasa kerana saiz tubuh yang kecil. 
"Jumlah cecair di dalam badan manusia berkadar dengan berat badan kita. Berat badan kanak-kanak jauh lebih sedikit, jadi suhu lebih cepat naik kerana jumlah air yang sedikit. Air diperlukan untuk ''regulate'' suhu badan manusia," katanya. 
Sehubungan itu ibu bapa atau penjaga jangan sekali-kali meninggalkan anak keseorangan di dalam kenderaan walau untuk seminit, nasihatnya menerusi entri bertajuk ''Heat Stroke: Kematian kanak-kanak di dalam kereta yang ditinggalkan''. 
Jadikan memeriksa kereta sebagai perkara rutin sebagaimana kita memeriksa keadaan rumah ketika hendak keluar, katanya yang turut menyarankan ibu bapa memastikan kunci kereta diletak di tempat yang sukar dicapai oleh anak kecil bagi mengelakkan kanak-kanak itu masuk ke dalam kereta tanpa disedari.   

Menurut pakar ortopedik dan traumalogi itu lagi strok haba berlaku di seluruh dunia, malah di Amerika Syarikat berlaku 33 kematian tahun lepas, manakala tahun ini mencatatkan 22 kes setakat ini.  

Khamis lepas, seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun maut setelah ditinggalkan tanpa sengaja lebih lima jam di dalam kereta yang diparkir ibunya di tempat letak kereta sebuah sekolah di Subang Jaya di sini. 
Nawal Iris Samsudin yang tertidur di kerusi belakang kereta, ditemui ibunya Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dalam keadaan kebiruan sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia.  

Semalam di Kota Kinabalu, seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang sedang tidur ditinggalkan ibunya di dalam kenderaan yang dikunci dari dalam serta enjinnya hidup sebelum keluar membeli-belah.  

Kanak-kanak itu diselamatkan orang ramai yang mengejutkannya dengan menggoyangkan kereta itu beberapa kali sebelum budak perempuan tersebut terjaga setengah jam kemudian dan membuka pintu kereta.  

sumber: Bernama

Nama panggilan saya Fifiy or Fit. Boleh panggil antara satu. hehe. Seorang yang sangat pemalu dan hanya bercakap bila perlu sahaja atau ketika dengan kawan-kawan yg terdekat. Already finished my study - Diploma in Journalism.