KES BULI LAGI DAN LAGI !
GEORGE TOWN, (Bernama) -- Seorang pelajar lelaki Maktab Rendah Sains
Mara (MRSM) Balik Pulau di sini mendakwa dipukul sekumpulan pelajar selain
menerima ugutan bunuh awal pagi semalam.
Pelajar yang hanya ingin dikenali sebagai Arif, 16, berkata kumpulan pelajar
terbabit berdendam dengannya ekoran beliau pernah menyerahkan nama mereka kepada
Lembaga Disiplin Pelajar (LDP) minggu lepas.
"Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, kira-kira 20 orang kumpulan pelajar
tingkatan empat itu datang ke katil saya serta menarik saya ke satu sudut bilik
asrama dan saya ditumbuk di bahagian perut sebanyak dua kali selain ditendang di
rahang kanan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini hari
ini.
Beliau berkata dua pelajar tingkatan lima kemudiannya menyuraikan keadaan
dan Arif mendakwa dia diserang lagi buat kali kedua dengan lebih teruk pada
pukul 2.30 pagi.
"Masa itu hanya lima pelajar yang datang ke katil saya dan saya ditumbuk di
bahu kiri, perut selain kepala dihentak ke dinding," katanya yang dilantik
sebagai anggota LDP Jun lepas.
Arif mendakwa seorang daripada pelajar itu kemudian mengeluarkan serpihan
cermin tingkap yang pecah dan berkata "kalau orang lain tak dak di sini dah lama
aku bunuh hang".
Beliau yang trauma dengan kejadian itu kini berulang alik dari rumah ke
sekolah dan belum membuat keputusan untuk bertukar sekolah.
Bapa pelajar itu berkata ketika ke MRSM itu awal pagi semalam, beliau
mendapati baju anaknya koyak rabak selain kepalanya mempunyai kesan bengkak
serta lebam.
Arif menerima rawatan di Hospital Balik Pulau sebagai pesakit luar, katanya
sambil memberitahu satu laporan telah dibuat di Balai Polis Balik Pulau pagi
semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zain
ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
1 Comments:
Write CommentsMacam2 la sekarang ni kan..:(
Reply